10 Bahayanya Ilmu
Islam menyuruh kita belajar. Islam mahu seseorang Muslim itu, lelaki mahupun
perempuan supaya menuntut ilmu. Tak boleh berhenti. Mencari ilmu bermula dari
dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Hendak
dunia kena ada ilmu, hendak Akhirat pun kena ada ilmu. Tidak sama orang yang
ada ilmu itu dengan orang yang tidak ada ilmu. Tuhan mengangkat orang yang ada
ilmu itu beberapa darjat. Orang yang ada ilmu itu kekasih Tuhan. Orang yang
jahil itu musuh dan seteru Tuhan.
Kalau begitulah kedudukan ilmu dalam Islam, kenapa pula ianya boleh jadi bahaya?
Ini kerana ilmu itu ibarat pedang. Ilmu itu adalah senjata. Itu sebab Islam
menyuruh kita mencari ilmu supaya kita mempunyai dan memiliki senjata.
Tapi ada senjata sahaja tidak cukup. Kita kena tahu bagaimana cara hendak menggunakan
senjata itu. Kalau tersalah guna, kita boleh membahayakan diri kita dan juga
orang lain. Lebih-lebih lagilah kalau orang yang ada senjata itu orang jahat.
Akan digunakan senjata itu untuk merompak, menyamun atau membunuh orang. Pedang
tidak salah. Senjata tidak salah. Tetapi tuan punya pedang mungkin menyalahgunakannya.
Di situlah letaknya bahaya ilmu. Bukan pada ilmunya tetapi pada pemiliknya.
Seperti juga dalam angkatan tentera dan pasukan polis, bukan sahaja kemahiran
mengguna senjata ditekankan pada anggotanya tetapi soal disiplin dan tata tertib
juga sangat diambil berat. Ini untuk menjamin senjata api yang ada di tangan
anggota tentera dan polis tidak disalahgunakan. Kalau digunakan, ianya khusus
untuk menjaga keselamatan dan untuk menumpaskan musuh masyarakat dan musuh negara.
Begitu juga adalah sangat bahaya kalau orang
yang ada ilmu itu tidak kenal Tuhan. Sebab orang yang tidak kenal Tuhan bukannya
orang yang baik. Orang yang ada ilmu, walaupun ilmu agama atau ilmu Islam sekalipun,
kalau dia tidak kenal Tuhan, dia akan menyalahgunakan ilmunya itu. Apabila Tuhan
dia tidak kenal, dia akan melupakan Tuhan. Dia akan tinggalkan Tuhan. Akhirnya
dia akan kehilangan Tuhan. Dia seolah-olah hidup tanpa Tuhan.
Apabila Tuhan yang hak sudah tidak wujud lagi dalam hidupnya, maka tuhan yang
palsu akan mengambil alih. Dia akan menabalkan dirinya sendiri sebagai tuhan.
Secara tepatnya, dia akan mengangkat nafsunya menjadi tuhan. Apa pun yang dia
buat selepas itu adalah berpandukan
kehendak dan kemahuan nafsunya semata-mata. Nafsunyalah yang menjadi
tunggak dan pendorong utama dalam hidupnya. Kita tahu bahawa nafsu hanya berkehendak.
Dia tidak kira halal atau haram. Hak atau batil. Dosa atau pahala.
Justeru itu, segala ilmu yang ada padanya, walaupun ilmu usuluddin, ilmu syariat,
ilmu tasawuf, ilmu hadith, ilmu tafsir dan sebagaiya, lebih-lebih lagilah ilmu
yang berbentuk duniawi akan digunakannya hanya untuk memburu dunia. Ilmu itu
akan digunakan untuk mendapat wang dan imbuhan, untuk mendapat pangkat dan jawatan,
untuk glamour, untuk mendapat pujian dan populariti, untuk bermegah-megah, untuk
mendapat pengaruh dan bermacam-macam lagi kepentingan yang berbentuk peribadi
dan duniawi.
Ilmu bukan lagi untuk menghampirkan dirinya
pada Tuhan. Bukan lagi untuk mengabdikan diri dan berbakti pada Tuhan. Bukan
lagi untuk berlaku taat dan bertaqwa kepada Tuhan. Ilmu, termasuk ilmu agama
dan ilmu Islam akan dijadikan modal untuk mencari nafkah dan sara hidup, untuk
mengumpul harta dan kekayaan dan untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan dunia
yang sedikit.
Dengan itu, ilmu terutamanya ilmu agama dan ilmu Islam, mudah sahaja diselewengkan,
disorok, disalahtafsir, diubah-suai, diringan-ringankan dan dipadankan mengikut
kehendak pihak-pihak tertentu demi untuk menentukan keuntungan duniawinya tidak
terjejas. Ia tidak lagi dijadikan panduan atau petunjuk. Akhirnya masyarakat
jadi rosak, agama jadi rosak, negara jadi rosak, manusia bertambah jauh dari
Tuhan dan bertambah jahat.
Orang yang ada ilmu terutama ilmu agama yang tidak kenal Tuhan ini dinamakan
ulamak suk atau ulamak jahat. Rasulullah menyuruh kita lari daripada ulamak
macam ini seperti mana kita lari dari harimau atau singa yang ganas. Mereka
ini lebih bahaya dari harimau dan singa.
Itulah sebabnya juga Islam sangat menekankan tentang Awaluddin marifatullah atau Awal-awal
agama mengenal Allah . Kalau Allah kita tidak kenal, maka segala apa
yang ada pada kita termasuk ilmu, ibadah, usaha dan kebaikan kita tidak ada
makna apa-apa. Kita tidak akan mampu berbuat sesuatu apa pun dan menggunakan
apa yang ada pada diri kita untuk Tuhan. Kita akan jadi orang yang hanya menggunakan
ilmu dan apa sahaja yang ada pada diri kita mengikut kehendak hawa nafsu kita
sahaja.
- 2898 reads
Post new comment