Khadam Ayat

Menemukan artikel tentang khadam ayat, di URL berikut:
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&...

Khadam ayat bukan manusia, jin atau malaikat

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Datuk saya adalah seorang pawang yang banyak menolong penduduk tempatan ketika sakit, dengan cara memberi tangkal dan azimat ketika ibu hendak bersalin, juga menjadi imam ketika kenduri-kendara seperti yang masih banyak dilakukan sekarang ini.

Saya mewarisi ilmu datuk saya ini dan di antara amalan yang saya lakukan ialah hasil daripada menuntut ilmu yang dinamakan ``khadam ayat''. Saya dapati amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Ia begitu mujarab dan hasil daripadanya saya dapat mengatasi banyak masalah yang sukar.

Saya inginkan kepastian adakah amalan dan tuntutan saya itu benar, tidak menyalahi syarak? - Cucu Tok, Seremban

JAWAPAN: Istilah ``khadam ayat'' ini boleh dikatakan popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Pada hakikatnya istilah khadam ayat ini dirujuk kepada amalan berguru atau menuntut ilmu dengan membaca ayat-ayat tertentu al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus, di mana akhirnya orang yang berkenaan didatangi oleh makhluk yang dipanggil sebagai ``khadam ayat''.

Amalan ini juga ada kalanya boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti Al-Fatihah, al-Mu'awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk yang dipanggil sebagai ``khadam ayat''.

Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan ``khadam ayat'' yang datang tadi, yang akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan, untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.

Menurut seorang responden, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin atau malaikat. Ia merupakan ``khadam'' kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah katanya, Rasulullah bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya.

Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri. antara hadis yang menyebutkan hal yang demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya iaitu ayat al-Kursi.

Atas pemahaman tentang fadilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan, mengamalkan apa yang difahami sebagai ``khadam ayat Kursi'' dalam amalan kebatinannya.

Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, dia akan didatangi oleh makhluk yang dipercayai sebagai ``khadam ayat al-Kursi''. Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajari amalan tersebut agar makhluk itu taat menurut perintahnya.

Menurut responden lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.

Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan, khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani sakit yang teruk ataupun masalah-masalah besar.

Memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat, walaupun demikian ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya.

Kerana itu maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Seorang responden lain, yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya. Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang berumur 10 tahun, yang ketika itu sedang tidur.

Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia. Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.

Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.

Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami oleh umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.

Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin kafir ataupun jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.

Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali, yang dikenali sebagai rijalul ghaib, yang juga dikenali sebagai khadam roh.

Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah. Makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur. Responden mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.

Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.

Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari. Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.

Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, dia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, dia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah. Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula dari hari itu dia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.

Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampinginya tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya.

Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian dia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.

Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, gangguan makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecacatan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, keracunan makanan dan sebagainya.

Demikianlah beberapa keterangan mengenai khadam ayat seperti yang saudara tanyakan. Sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.

Allah menjadikan tiga jenis makhluk utama, iaitu malaikat, jin dan manusia. Tidak tersebut daripada mana-mana sumber tentang adanya makhluk selain daripada tiga jenis makhluk ini. Ketika ditanya tentang makhluk berjubah hijau yang datang menghulurkan tangan, responden memberitahu bahawa hal tersebut berlaku ketika dalam keadaan sedar, bukan ketika dia nyenyak tidur atau dalam keadaan separuh sedar.

Responden yang sama menyatakan bahawa khadam ayat boleh disuruh menjaga diri, keluarga, harta benda dan lain-lain tujuan. Apa yang kurang digemari oleh responden, pada mulanya ialah makhluk ini terlalu kerap menjelmakan diri menyerupai dirinya menyebabkan isterinya takut. Hal demikian sama berlaku seperti yang diakui oleh responden yang membela jin, yang dinamakan sebagai hantu raya.

Tidak adanya perjanjian antara orang yang mempunyai khadam ayat dengan makhluk yang menjelma itu bukan merupakan hujah kuat membuktikan makhluk ini sebenarnya khadam ayat, bukan jin.

Responden kedua yang bersahabat dengan rijalul ghaib mendakwa bahawa dia juga tidak ada membuat perjanjian. Apa yang dilakukan ialah membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali yang disedekahkan kepada rijalul ghaib sebelum dia memanggilnya datang. Makhluk ini amat suka disedekahkan dengan Al-Fatihah.

Tidak kira apa alasan yang diberi sama ada kerana makhluk itu memang taat, seperti yang diminta oleh orang yang terlibat pada mula ia menjelmakan diri atau lain-lain alasan, sifat taat untuk melakukan kejahatan tetap tidak boleh dijadikan hujah membuktikan bahawa makhluk tersebut adalah khadam ayat, bukan jin yang terdiri daripada iblis atau syaitan.

Umar Sulaiman (1985:59-60) menyatakan bahawa syaitan tidak semestinya datang menipu manusia menyuruh manusia meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menyuruh melakukan perbuatan jahat. Sekiranya ia berbuat demikian manusia akan menyedari bahawa perbuatan tersebut adalah daripada syaitan.

Sebaliknya, makhluk itu akan melakukan pelbagai helah untuk mengelirukan, mengelakkan dirinya daripada diketahui siapakah dirinya yang sebenar menyebabkan manusia beranggapan bahawa syaitan itu adalah wali Allah lalu menganggap perbuatan yang salah itu baik.

Menurut Umar Sulaiman (1985:87) lagi, pengulas at-Tahawiyah menyebutkan tentang adanya golongan syaitan yang dipanggil oleh manusia sebagai rijalul ghaib. Ada orang yang pernah bercakap dengannya dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa, sehingga mereka menyangka bahawa makhluk tersebut adalah wali-wali Allah.

Mereka pada hakikatnya adalah teman-teman kaum musyrikin daripada golongan jin. Mereka dinamakan ``rijal'' seperti yang tersebut dalam firman Allah (al-Jinn: 6): Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah lagi mereka dosa dan kesalahan.

the best word

best ayat2 di sini meskipun ramai remaja tidk lagi berminat dengan ilmu2 islam. tapi seperti janji allah, suatu hari nanti akan ramai yang taat agama islam kerana ketika itu sudah berada di akhir zaman. saya gembira anda tidak menyerah kalah untuk menegakkan agama islam

Ilmuan Allah..

Assalamualaikum, saya Kamarul yang baru mengikuti perkembangan dan status pengamalan agama dan khasiat ayat2 Al Quran yang tidak berlawanan dari segi aqidah, sunnah dah hadis, inshaallah. Saya yakin dimana Allah yang Maha Agung, Bijaksana, Adil dan saksama, Maha Kaya dan Mengetahui segala yang termaktub di alam ini. Memang tidak di nafikan, terdapat banyak ajaran ayat2 di dalam Alquran untuk amalan individu bagi jalan penyelesaian masalah, pembuka rezeki,perubatan alternatif dll. Dan yakni ada diantara ayat yang berkhadam (dinyatakan di dlm Al Quran/Hadis). Terpulang kepada kemampuan individu untuk mempraktikkan ayat2 ini selepas solat hajat ataupun fardhu (5waktu) sebanyak 1000x tertakhluk kepada sesetengah ayat dan di ikuti dengan surah alfatihah dan ayat Kursi bagi menguatkan lagi iman dan tenangkan hati semasa ibadah. Saya masih lagi membuat kajian dan pengajian tentang khadam/penjaga ayat yang dinyatakan terlebih awal di dalam article halaman ini. Inshaallah, harap hajat di hati yang ikhlas bagi jalan pembuka kekayaan,rezeki bagi membantu keluarga,diri dan orang2 susah dapat di kabulkan Allah dengan keizinanNya. Terima Kasih

Post new comment

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer