Jika Seseorang Memiliki Sifat- Sifat Terpuji


30/08/2006

Jika seseorang itu dapat menajamkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan di dalam hatinya maka kesannya adalah seperti berikut:
Pertama :
Jika sifat dan rasa kehambaan itu amat kuat berlaku pada seseorang muslim itu, ia akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sumah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.

Sebaliknya apabila rasa kehambaan itu tidak wujud, maka akan lahirlah rasa ketuanan . Rasa ketuanan itulah yang melahirkan rasa sombong, riyak, sumah, pemarah, hasad, minta dipuji, meninggi diri, dendam, tamak dan lain-lain lagi.Kemudian jika sifat ketuanan itu dibiarkan subur dan dibaja, maka akan lahirlah pada seseorang itu rasa atau sifat ketuhanan yang mana ia adalah milik Allah SWT. Maka jatuhlah dia kepada syirik. Waliya-zubillah.

Dan kalau dia orang yang berkuasa,maka dia akan menjadi orang yang sangat zalim dan kejam.Oleh itu kita sebagai hamba, kenalah mempertajam dan menyuburkan rasa kehambaan itu agar segala sifat-sifat mazmumah hilang. Begitulah yang dituntut oleh Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya.

Apabila rasa kehambaan itu menghilangkan sifat-sifat mazmumah seperti yang telah disebut tadi maka secara automatik lahirlah pada diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah seperti merendah diri, malu, bertolak ansur, berkasih sayang, bertimbang rasa, mengutamakan orang lain, bertawakal, sabar, rasa berdosa, rasa kurang, rasa lemah, rasa mengharap, memberi maaf, meminta maaf, merasa diri bersalah, rasa berdosa dan lain-lain lagi.

Kedua :
Apabila rasa bertuhan benar-benar dihayati dan benar-benar mencengkam hati seseorang muslim serta dibawa ke mana-mana, maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia rasa diawasi dan diperhati oleh Allah Taala. Rasa malu sentiasa wujud. Rasa takut tidak akan lekang lagi dari seseorang itu. Dia akan benar-benar merasa dirinya di dalam kekuasaan Allah. Nasibnya benar-benar ditentukan oleh Allah Taala.

Maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia takut membuat dosa. Malu dengan Tuhan. Dia akan menjadi orang yang jujur dan ikhlas. Suka membuat baik. Dia akan menjadi orang yang beradab dan bersopan, berdisiplin, menunai janji. Apabila membuat dosa terseksa jiwanya. Sentiasa muraqabah, jiwanya sentiasa hidup dan berhubung dengan Allah Taala. Maka mereka itu di dalam keadaan macam mana pun, mereka tetap tidak lalai. Apatah lagi mereka tidak akan hanyut di dalam arus kemaksiatan dan kemungkaran masyarakat. Mereka tetap dapat mengawal dan menjaga diri.

Dengan kata yang lain, rasa bertuhan itulah menjadi benteng pada seseorang itu daripada melakukan dosa dan derhaka. Sekaligus ia merupakan anak kunci segala kebaikan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa tajamkan atau hidupkan rasa bertuhan di dalam hati kerana rasa bertuhan itulah kita akan menjadi orang baik di dunia ini.

PERINGATAN :
Sebagai peringatan, bahawa sembahyang dan ibadah yang banyak dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan timbul.Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak, sumah dan ingin dipuji, rasa diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan.

Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu mati di dalam suasana suul khatimah kerana dia rasa dia membuat baik bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran yang baik. Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi batinnya derhaka. Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan mazmumah.

Wahai Tuhan! Berilah kami pimpinan! Engkau perlihatkanlah diri kami lahir dan batin! Engkau perlihatkanlah perkara-perkara yang seni-seni di dalam kebaikan dan kejahatan agar kami selamat daripada dosa-dosa yang susah hendak difahami. Amin, ya Rabbal alamin.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer