Kategori Manusia Beragama


28/11/2006

Di antara nikmat yang pertama Tuhan anugerahkan kepada manusia, iaitu manusia diciptakan oleh Tuhan. Tetapi nikmat itu belum tentu menjadi rahmat, kerana nikmat dan rahmat ada perbezaan. Apabila disebut rahmat, ertinya termasuk nikmat. Tetapi apabila disebut nikmat, tidak semestinya bersama rahmat. Kita kena faham perkara ini.

Nikmat yang kedua daripada Tuhan setelah diciptakan manusia, iaitu rasa ber Tuhan. Rasa berTuhan merupakan nikmat kedua, belum tentu menjadi rahmat, sekadar nikmat saja.

Dari sinilah manusia mudah beragama, cuma agama tu benar atau tidak. Jadi rasa berTuhan itu fitrah. Manusia tidak boleh membohongi diri mereka sendiri. Kalau kita persoalkan, terdapat manusia yang tidak mempercayai Tuhan terutama orang yang berfahaman komunis, itu bohong. Dia marah dengan orang beragama, sebab orang beragama ada yang berbohong, menipu, merompak, membunuh samada agama yang hak atau yang sesat. Lantas mereka mengatakan Tuhan tidak ada. Sebenarnya tidak, mereka berkata begitu kerana marah dan sakit hati dengan orang yang beragama. Rasa berTuhan itu fitrah, nikmat kedua daripada Tuhan. Tetapi nikmat itu tidak semestinya menjadi rahmat.

Daripada rasa berTuhan ini, lahirlah agama, setidak-tidaknya 3 kategori
agama:

1. Agama dari Tuhan.
Agama dari langit (dari Tuhan), agama yang diwahyukan daripada Tuhan dengan kedatangan Rasul-Rasul atau Nabi-Nabi.

2. Agama yang telah dirosakkan.
Asalnya agama dari langit, tetapi dalam jangka masa yang panjang agama tadi telah dirosakkan oleh penganut-penganutnya sendiri seperti agama Yahudi, Nasrani dan lain-lain.

3. Agama Animisme.
Ini berlaku kepada orang yang duduk di gunung-gunung, hulu-hulu yang tidak bercampur dengan orang lain. Contohnya orang asli. Oleh kerana rasa ber Tuhan itu wujud maka, mereka beragama mengikut rasa, mereka-reka agama tidak bersumberkan wahyu.

Agama yang rosak tadi, asalnya agama wahyu dari Tuhan yang disampaikan kepada Rasul-rasul, Nabi-nabi, tetapi dirosakkan oleh ulama-ulamanya dan parapengikut yang datang kemudian.

Sebagai orang berjuang, saya akan memberi ilmu, kerana kita berhadapan dengan manusia yang beragama bukan Islam atau orang yang tidak beragama.

Sebenarnya, agama yang asalnya dari langit yang dibawa oleh Rasul-rasul dan Nabi-nabi, itu benar. Tetapi dirosakkan oleh ulama-ulama atau para
pengikutnya yang datang kemudian. Sama ada dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja. Saya tidak sebut yang disengajakan, kerana hal itu memang dirancang, dibuat. Saya mahu memperkatakan, yang tidak disengajakan.

Nabi-nabi banyak diutus oleh Tuhan. Ada riwayat yang mengatakan bilangan nabi-nabi seramai 124 ribu (124000). Sedangkan agama yang Tuhan turunkan kepada mereka, untuk dirinya sendiri, bukan untuk orang lain. Tetapi tidak salah untuk disampaikan kepada orang lain dan tidak salah pula, orang lain mengikutnya. Jadi, Nabi-nabi ini, tidak mengembangkan agama pada orang lain sebab tidak wajib bagi mereka. Tetapi oleh kerana agama yang dibawa itu daripada Tuhan, mereka berakhlak tinggi, mereka tawadhuk, tidak mengganggu orang bahkan orang hormat dan sayang pada mereka. Jadi apabila mereka mati, oleh kerana mereka menolong orang, menyelamatkan orang, berbuat baik, bertolak-ansur pada orang, maka nabi-nabi itu di Tuhan kan orang. Jadi
lahirlah agama baru seperti agama Budha, Hindu, dll. Sebab itu Gautama Budha, mungkin seorang nabi. Tetapi selepas kematiannya, orang menjadikannya sebagai Tuhan . Orang yang selepas kematiannya itu yang sesat. Sedangkan dia tidak sesat.

Jadi, para pengasas Budha, Hindu, Konfusius mungkin, adalah nabi. Tetapi apabila mereka mati, oleh kerana para pengikut sayang dengan mereka, maka orang ramai membuat kesilapan dengan menuhankan mereka. Oleh kerana itulah, kalau kita membaca tentang agama Budha, Hindu terdapat ajaran-ajaran di dalamnya, terutama mengenai akhirat sama dengan ajaran Tuhan. Oleh kerana mereka di tuhankan, sedangkan Tuhan mesti disembah dan dibesarkan, maka cara menyembah Tuhan itu direka-reka. Timbullah penyembahan dan ibadah
dari mereka. Walaupun asalnya mungkin peribadi itu nabi. Ajarannya itu sesuai dengan ajaran Tuhan, tetapi orang yang kemudian menuhankan mereka. Maka, cara mana mahu membesarkan, mengagungkan dan menyembah mereka, itulah yang direka-reka. Akhirnya, lahirlah penyembahan yang sesat. Padahal sumber agama itu tidak sesat. Mungkin dia nabi.

Agama Animisme itu pula lahir daripada rasa berTuhan. Ibadahnya langsung tidak bersumberkan apa-apa. Animisme ini banyak dibuat oleh orang-orang asli. Jadi, daripada rasa berTuhan itu, lahirlah keinginan mahu membesarkan Tuhan, mahu Tuhan itu disembah, maka cara membesarkan dan menyembah Tuhan itu direka-reka. Agama jenis ini lebih mengarut dan lebih sesat lagi.


Kedatangan Rasulullah saw adalah Rasul yang terakhir, yang membawa agama Tuhan yang paling sempurna dan paling global. Agama untuk semua etnik, semua kaum dan semua bangsa. Walapun begitu, apabila zaman sudah jauh, masa sudah beredar, keadaan sudah berubah, maka agama yang sudah ditinggalkan Rasulullah saw pada umatnya 1500 tahun dahulu, mungkin agama ini sudah cacat. Dicacatkan oleh cinta dunia, dicacatkan oleh kejahilan, dicacatkan oleh setengah faham, setengah tidak faham, dicacatkan oleh mazhab yang datang kemudian. Maka kalau kita kategorikan umat Islam hari ini, entah berapa banyak kategori. Oleh kerana Islam sudah jauh dari Rasulullah saw, maka boleh disebut begini:

1. Atas dasar keturunan.

Ada yang mengaku Islam atas dasar keturunan. Sedangkan dia sendiri tidak tahu sama ada dia Islam atau tidak.

2. Islam akidah sahaja.

Golongan ini, hanya tinggal akidahnya sahaja Islam. Akidahnya betul, mengenal Tuhan betul tetapi tidak ada syariat lagi, sehingga sembahyang pun tidak dilaksanakan. Dia masih orang Islam, tetapi masuk neraka lama sangat.

3. Orang Islam yang zalim atau fasik

Akidahnya betul, mengenal Tuhan pun betul. Tetapi syariat yang diambil hanya bidang ibadah sahaja. Bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan, perhubungan, semuanya tidak mengikut syariat. Bab nikah kahwin tidak mengikut syariat. Tinggal ibadah saja. Kategori ini termasuk orang zalim atau fasik.

4. Golongan yang fasik tetapi tipis.

Umat Islam yang akidahnya betul. Manakala syariatnya, disamping ibadah
berlaku juga syariat dalam kehidupan. Tetapi tidak memikirkan apakah syariat itu dibuat dalam keadaan ria, sombong & hal-hal rohani yang penting secara lahir yang dilakukannya. Soal makan minum, pergaulan, sembahyang, puasa dia jaga, tanpa memikirkan riak ke?, kerana Tuhan ke?, kerana orang ke?. Ini termasuk orang-orang yang fasik, tetapi tidak setebal fasik tadi (kategori 3).

5. Kategori orang soleh

Orang Islam yang akidahnya betul dan menjalankan syariat, sama ada dibidang ibadah mahu pun dalam bidang kehidupan. Cuma dia khusyu, rasa takutkan Tuhan di waktu ibadah saja. Di luar sembahyang, di luar ibadah, tidak ada rasa takut, tidak rasa bertuhan. Kita anggap mereka orang soleh, tetapi bertaqwa belum.


6. Kategori orang bertaqwa

Orang yang dapat menghayati Tuhan waktu ibadah, takut dengan Tuhan di dalam dan luar ibadah. Tetapi dalam pada itu, ada lalainya, ada ketika lupa dengan Tuhan, sekali sekala dalam kehidupan dia lalai dengan Tuhan. Itu orang bertaqwa.

7. Kategori Siddiqin

Lahir dan batinnya dengan Tuhan. Sama ada dalam keadaan ibadah atau tidak ibadah, hatinya sentiasa dengan Tuhan. Lahir dan batin sama. Lahir
menggambarkan batin dan batin menggambarkan lahir. Itu orang yang siddiqin. Mereka terdiri daripada kalangan Rasul-rasul, Nabi-nabi atau wali-wali besar.

Jadi, ilmu yang kita perkatakan ini untuk kita ketahui supaya kita faham
mengapa adanya agama-agama yang sesat. Sebab fitrah semula jadi manusia itu rasa berTuhan. Kalau cacat pun, dia beragama. Sebab rasa berTuhan itu memang wujud. Jadi setelah kita mendengar kuliah tadi, kalau kita sebagai umat Islam yang sudah ditinggalkan jauh oleh Rasulullah saw, agak-agak kita di kategori mana? Nak dapat kategori taqwa susah, paling baik orang soleh saja, kebanyakan fasik, zalim. Nak pergi kepada kategori orang soleh dah susah.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer