Pemimpin, Ulama Dan Rakyat(1)


13/04/2006

"Dua golongan apabila baik, maka baiklah rakyat iaitu pemimpin dan ulama." (Al Hadis)

Jika ditanya "Siapa mahu jadi pemimpin?" Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan, permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.

Kita boleh lihat secara realitinya apa yang berlaku di Pakistan, Bangladesh, Somalia, Nigeria umpamanya dan sedang berlangsung kini di negara teramai umat Islam iaitu Indonesia. Perebutan untuk menjadi pemimpin itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu ambitious kerana melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan keistimewaan yang dikecapi selama ini.

Biarpun banyak seruan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau. Cuba bayangkan kalau berlaku di sebuah negara yang pemimpinnya boleh memiliki tanah 1000 hektar dalam tempoh pengurusan hanya dua hari sahaja. Cuba kira pula bagaimana pemimpin di sebuah negara yang para menterinya mendapat habuan 2% setiap kali kontrak kementerian bernilai berbilion ringgit ditandatangani. Begitu juga berlaku di sebuah negara yang lahir ramai `millionaire by-night` yakni dalam satu jamuan malam secara ringkas berjaya memperolehi kawasan balak dengan mudah.

Keistimewaan duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat peluang lain di antaranya ialah populariti, meningkatkan `self esteem` dan pengaruh.

Jika tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau keistimewaan mungkin ramai yang tidak cicir air liur, tidak ghairah, tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.

Di sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memikirkan dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu. Kepimpinan juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan. Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan masak dengan selok belok peranan kepimpinan.

Terlalu luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.

Kata Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa.Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu.Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna."

Bersandarkan kepada intipati pesanan Saidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua pekara pokok.Pertama : ketaqwaan dan kedua : kepintaran .

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer