Pemimpin, Ulama Dan Rakyat(2)


14/04/2006

" Dua golongan apabila baik, maka baiklah rakyat iaitu pemimpin dan ulama." (Al Hadis)

Pertama:
Ketaqwaan
a. Pemimpin bertaqwa itu segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya.

b. Pemimpin bertaqwa apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana pihak. Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini, dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.

c. Pemimpin bertaqwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana yang pertama itu berdosa dan yang berikutnya adalah dibenci oleh Allah SWT . Orang bertaqwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab yang lama di Akhirat nanti.

d. Pemimpin bertaqwa
adalah seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan manusia. Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia sedang melakukan kerja-kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau dengan kata lain tidak ada nilai bagi ,orang yang membuat kerja Allah SWT tetapi jauh dari Allah SWT.

Kecacatan dalam urusan manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya. Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.

Pemimpin sangat penting mengenal sifat mazmumahnya . Kerana mazmumah dirinya itu boleh mencacatkan kepimpinannya . Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertaqwa sahaja yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.

Pemimpin bertaqwa tidak mudah dengan sewenang-wenangnya menyalahkan orang lain atau rakyatnya yang mengumpat atau mencerca dirinya. Jika pemimpin itu baik, tidak melihat kesalahan diri dan membaiki segala kesilapan dan cacat cela diri.

Mengapa Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a berupaya memimpin dan mentadbir empayar yang luasnya 3/4 (tiga suku) dunia? Kerana urusan Sayidina Umar dibantu oleh Allah SWT dan melaksanakan dua prinsip asas ini iaitu taqwa dan kepintaran. Tidak terpisah antara keduanya. Hari ini kepimpinan sering rosak dan cacat kerana hanya memiliki kepintaran tanpa taqwa. Akhirnya bukan saja dirinya rosak, kepimpinannya rosak malah rakyat juga turut menanggung akibatnya. Sebab itu rakyat juga turut terlibat dengan seribu satu macam gejala negatif dan mungkar kerana itu manifestasi atau buah dari kepimpinan yang tidak bertaqwa.

Sayidina Umar tidak tidur malam kerana menyelesaikan segala urusan dengan Allah SWT . Dan tidak tidur siang untuk menyelesaikan urusan umat .

Sayidina Umar Ibnu Aziz menangis hampir setiap malam kekhalifahan beliau. Rintihan beliau ialah:
"Urusan diri pun belum tentu selamat, ini pula hendak memikul urusan umat."

Ada di antara kepimpinan masakini yang sudah di persada puluhan dan belasan tahun. Kedapatankah sifat dan sikap seperti Sayidina Umar Al Khattab dan Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz itu? Di zaman kepimpinan umpama merekalah yang dimaksudkan oleh Allah SWT:
Maksudnya: "Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT." (As Saba`: 10)

Baik atau `thaiyibah` itu bererti manusia berada dalam aman damai dan berkecukupan dalam segala keperluan hidup rohani dan jasmani, spiritual dan material. Aman sejahtera kehidupan manusia kerana sangat minimanya segala unsur negatif, maksiat kejahatan dan kemungkaran.

Mendapat keampunan Allah SWT pula adalah kerana majoriti masyarakat Islamnya bertaqwa atau mempunyai ciri-ciri orang soleh.
Iaitu orang yang rata-rata menggabungkan iman dan kebaktian. Iman terhadap Allah SWT, kebaktian pula untuk sesama manusia. Ciri-ciri ini akan tercapai dan berjaya dicetuskan hanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan pintar.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer