Sayyidina Ali Bin Abi Talib(2)


07/05/2006

Ucapan Sayyidina Ali kwj sungguh-sungguh menggambarkan ketabahan dan keberanian hatinya. Cahaya pedang terhunus yang berkilauan, sama sekali tidak dihiraukan, bahkan orang-orang Quraisy itu dicemuhkan. Seandainya ada seorang sahaja dari gerombolan itu menghayunkan pedang ke arah Sayyidina Ali kwj, entahlah apa yang terjadi. Tetapi Allah tidak menghendaki hal itu.

Keesokan harinya, Sayyidina Ali kwj berkemas-kemas mempersiapkan segala keperluan untuk berangkat membawa beberapa orang wanita Bani Hasyim, terutama Siti Fatimah r.a menyusul perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam hijrahnya ke Madinah.

Rombongan Sayyidina Ali kwj berangkat secara terang-terangan di siang hari. Setibanya di Dhajnan, berlaku keadaan yang sungguh mencemaskan antara kaum muslimin dan kaum musyrikin. Puak musyrikin telah berusaha menghalang rombongan Sayyidina Ali dari meninggalkan Kota Mekah.

Sayyidina Ali kwj yang ketika itu berusia 26 tahun, merupakan orang pertama yang menghunus pedang untuk mematahkan cubaan bersenjata orang-orang kafir Quraisy. Dengan beraninya, beliau menghayunkan pedang ke arah seorang musyirikin bernama Jenah yang berada di atas kudanya. Terbelahnya tubuh Jenah menjadi dua. Melihatkan keadaan itu, larinya 7 orang dari pasukan berkuda Quraisy yang sebelum itu mengejar rombongan Sayyidina Ali. Dengan keberanian Sayyidina Ali itu, selamatlah rombongan kaum muslimin itu.

Ketika berlaku Perang Badar, yang merupakan perang pertama yang terpaksa diharungi oleh kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan memegang panji yang melambangkan tekad perjuangan menegakkan agama Allah SWT itu ialah Sayyidina Ali bin Abi Thalib.

Tanpa pengalaman perang sama sekali dan dengan kekuatan pasukan yang hanya sepertiga kekuatan musuh, pasukan muslimin dengan iman yang teguh berjaya mencipta sejarah yang sangat menentukan perkembangan Islam seterusnya. Senjatan kaum muslimin waktu itu boleh dibilang dengan jari. Tentera muslimin juga tidak memiliki pasukan berkuda dan penunggang unta, iaitu pasukan yang dipandang paling ampuh pada masa itu. Begitu juga jumlah kuda dan unta berbanding jumlah pasukan yang ada, sehingga seekor unta ditunggang oleh dua hingga empat secara bergantian. Hanya ada seekor kuda yang tersedia, iaitu yang ditunggang oleh Miqdad bin Al Aswad Al Kindiy. Itulah kekuatan lahiriah pasukan Rasulullah SAW di dalam perang Badar

Dalam perang Badar itu pasukan muslimin tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya. Allahu Akbar.

Ketika peperangan mula berkobar, Sayyidina Ali bersama Hamzah bin Abdul Mutalib dan beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Sayyidina Ali r.a berkibar panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang menerjang pasukan musuh yang jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini untuk pertama kalinya kalimah Allahu Akbar berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin. Saat itu terdengar suara musuh menentang, Wahai Muhammad, suruhlah orang-orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy supaya tampil!

Mendengar cabaran itu, laksana singa lapar, Sayyidina Ali r.a meloncat mara ke depan mendekati suara yang mencabar itu. Terjadilah perang satu lawan satu antara Sayyidina Ali r.a dengan Al Walid bin Utbah, saudara Hindun isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang Sayyidina Ali kwj. Dalam perang Badar ini, 70 orang pasukan kafir Quraisy mati terbunuh, dan hampir separuhnya mati di hujung pedang Sayyidina Ali kwj Selain itu, lebih dari 70 orang pemuka Quraisy berjaya ditawan dan dibawa ke Madinah. Perang Badar yang berakhir dengan kemenangan kaum muslimin itu merupakan fajar pagi yang menandakan sinar agama Allah SWT akan mula memenuhi bumi.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer