strict warning: Only variables should be passed by reference in /usr/home/www.kawansejati.org/html/modules/book/book.module on line 559.

Umat Islam Umat Pertengahan

Kuliah Perjuangan


18/08/2005

UMAT ISLAM UMAT PERTENGAHAN

Dalam memperjuangkan cita-cita kita dan dalam hendak memperjuangkan cita-cita Islam memerlukan ilmu yang mendalam dan ilmu yang seni. Mesti memahami ilmu dunia dan mesti memahami ilmu akhirat. Kalau tidak, Islam itu tidak dapat diperjuangkan dengan tepat.

Sebenarnya waktu ini, Islam telah disalah gambarkan. Islam telah disalah tafsirkan. Bahkan Islam telah disalahertikan. Hingga Islam dipandang begitu buruk oleh masyarakat dunia terutama orang-orang bukan Islam disebabkan oleh kesalahan umat Islam sendiri. Umat Islam yang mempersembahkan Islam dengan tidak tepat samada dari segi Tauhid atau samada mereka menjadi pasif atau militan. Kini, kedua-dua golongan ini sangat ditakuti.

Golongan pertama iaitu pasif membawa kepada kemunduran umat Islam. Golongan kedua iaitu militan lagi menakutkan. Mereka nampak ganas dan kasar sedangkan ajaran Islam begitu cantik dan indah. Kalau Islam itu dapat dipersembahkan secara tepat, orang bukan Islam pun boleh menerima sekalipun mereka tidak masuk Islam.

Di sini, diperjelaskan sedikit dari sudut pandangan Islam antara dua golongan ini dengan membawa pandangan yang ketiga. Kita harap pandangan ketiga ini adalah yang tepat. Dan pandangan ketiga inilah yang kita sedang perjuangkan. Selain daripada secara tidak langsung untuk membetulkan pandangan kedua dan ketiga, serta hendak memperlihatkan kebenaran Islam yang sebenarnya. Ini penting supaya imej Islam itu pulih semula dan supaya kalau orang bukan Islam walaupun mereka tidak masuk Islam tetapi mereka boleh menerima kewujudan Islam dan umat Islam. Juga supaya Umat Islam kembali kepada Islam yang sebenar.

Di sini dibawakan satu ayat Al Quran. Mungkin ayat itu sudah diketengahkan sebelum ini iaitu ayat yang memperkatakan bahawa umat Islam itu adalah umat pertengahan. Ayat itu bermaksud:

"Demikianlah kami Tuhan menjadikan kamu adalah umat ( umat Muhammad) yang pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan Rasul menjadi saksi."

Ulasan dalam ayat ini ialah yang pertama; Tuhan memberitahu kepada umat Nabi Muhammad bahawa itu umat pertengahan. Yang kedua; umat Muhammad mesti buktikan kepada manusia. Dan yang ketiga; Rasul melihat apa yang dibuktikan oleh umat Islam. Jadi 3 perkara ini yang akan cuba diperkatakan. Moga-moga Allah memberi ilmu supaya kita dapat faham bersama. Maka, kita seolah-olah secara tidak langsung sedang belajar mentafsir Al Quran berdasarkan ayat yang disebut di atas.

Mari kita cuba huraikan dan memperjelaskannya. Moga-moga akan terserlah Islam yang sebenarnya. Bukan Islam yang kiri dan bukan yang kanan. Bukan juga Islam yang pasif dan bukan yang militan. Tetapi di tengah-tengah antara dua golongan ini.

Allah memberitahu kita dalam ayat tadi bahawa Tuhan menjadikan umat Muhammad itu umat pertengahan. Apa yang dimaksudkan dengan pertengahan ? Kalau kita menganggap bahawa umat Muhammad itu datang ke dunia sebagai umat pertengahan, itu tidak logik kerana umat Muhammad ini di hujung zaman dan di hujung usia dunia. Jadi,jelas bukan itu yang dimaksudkannya.

Kalau yang dimaksudkan umat Muhammad itu datang sebagai umat pertengahan di antara umat ke umat, dengan sendirinya kenyataan itu ternafi kerana hakikatnya umat Muhammad ini berada di hujung usia dunia. Rasullullah adalah Rasul yang terakhir maka umat ini adalah umat yang terakhir. Kalau itu yang dimaksudkan, kenyataan tadi batal dengan sendirinya. Jadi, bukan itu maksudnya.

Jadi, apa yang Allah maksudkan tentang umat Muhammad ini umat pertengahan ialah umat yang sederhana, tidak terlalu ke kiri dan tidak terlalu ke kanan. Maksudnya, ajaran yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad adalah ajaran terakhir daripada seluruh ajaran yang disampaikan kepada nabi-nabi. Kalau ianya boleh difahami dan menjadi ilmu serta boleh dihayati, diaplikasi dan boleh diperjuangkan, umat Islam tidak akan menjadi pasif dan tidak militan. Inilah yang dimaksudkannya.

Kenapa? Kalau kita baca sejarah dunia, kedatangan agama-agama atau kedatangan ahli-ahli falsafah ke dunia yang masing-masing ada peranan yang sangat berbeza. Kedatangan ahli-ahli agama sebelum Rasullullah membawa agama yang betul-betul berbentuk ibadah selain daripada masalah-masalah aqidah yakni soal hati. Soal-soal lahirnya adalah benar-benar ibadah seperti sembahyang dan puasa. Ia tidak ada hubungan dengan dunia. Tidak ada hubungkait dengan kemajuan dan pembangunan. Soal dunia ini kalau hendak dibuat boleh dibuat tetapi kalau tidak dibuat, tidak mengapa. Kerana soal dunia tidak dianggap agama.

Sebab itu kalau kita baca sejarah pengikut Rasul-Rasul selain Nabi Muhammad, mereka banyak membentuk ibadah semata-mata dan aqidah. Dan juga berbentuk uzlah. Mereka mengatakan bahawa mereka adalah hamba Tuhan semata-mata. Itulah yang kita lihat dalam sejarah.

Kemudian ajaran falsafah pula diterima oleh pejuang-pejuang untuk dijadikan ideologi perjuangan mereka dan menjadi izzah perjuangan mereka yang terlalu berbentuk keduniaan. Mereka hanya memikirkan bagaimana hendak maju dan keduniaan. Sedangkan Tuhan tidak diambil kira. Jadi ibadah tidak ada langsung.

Jadi, golongan pertama terlalu menjurus kepada akhirat dan golongan yang kedua sangat berbentuk keduniaan. Tetapi masya-Allah, maha besar Tuhan, ajaran yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang terakhir, pemimpin dari Tuhan untuk dunia yang terakhir membawa ajaran yang merangkumi kedua-duanya sekali. Ertinya, bukan hanya ibadah menjadi ibadah dan bukan hanya ibadah menjadi agama. Tuhan mahu umat Muhammad menjadi maju tetapi diIslamkan. Membangun kemudian diIslamkan. Berkemajuan kemudian diIslamkan. Segalanya mengikut peraturan-peraturan dari Tuhan. Akhirnya apa sahaja yang dilakukan dengan meletakkan agama itu sebagai asas, ia tetap agama, diberi pahala, mendapat keredhoan Tuhan dan mendapat kasih sayang Tuhan.

Apabila dunia yang dibangunkan, kemajuan yang dibangunkan dan tamadun yang dibangunkan diaplikasikan dan diIslamkan mengikut ajaran-ajaran Tuhan maka di sini dapat dua keuntungan. Itu juga ibadah dan itu juga kemajuan. Itu juga ibadah dan itu juga tamadun. Itu juga ibadah dan itu juga pembangunan.

Ertinya, keseluruhan hidup termasuk pembangunan kemajuan itu sudah menjadi agama. Jadi, ianya tidak boleh dipandang dalam dua bentuk lagi, ia sudah menjadi agama. Maksudnya, ibadah, kemajuan dan pembangunan, semuanya yang dilakukan berlandaskan ajaran agama Islam mendapat pahala, keredhoaan dan kasih sayang dari tuhan. Inilah yang dimaksudkan umat Muhammad itu umat pertengahan. Tidak dunia semata-mata dan tidak akhirat semata-mata. Akhirat dan dunia digabungkan. Yang akhirat tetap akhirat, yang dunia pun bernilai akhirat. Yang akhirat menjadi ibadah dan diberi pahala. Kemajuan dunia pun sudah menjadi ibadah. Kemajuan itu juga sudah menjadi ibadah. Kalaulah fahaman ini dapat dipersembahkan kepada masyarakat, Islam menjadi sangat cantik dan indah. Akhirat dan dunia tidak ada pemisahan dan tidak ada bezanya. Semua itu menjadi agama. Itulah yang dimaksudkan dalam satu ayat yang lain yang bermaksud:

"Sesungguhnya agama itu semuanya untuk Allah."

Maksudnya, siapa yang ada di dunia ini, selagi diusahakan oleh manusia, ia menjadi agama. Agama untuk keredhoan Tuhan. Inilah cantiknya ajaran Islam yang disampaikan kepada Rasullullah saw. Kalau begitulah yang kita faham dengan hanya berdasarkan dari satu ayat yang pendek kemudian dapat dipersembahkan, diperjuangkan dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan kita, ia sangat cantik. Tidak timbul pasif dan tidak timbul militan kerana Islam membawa kasih sayang.

Kalau pembangunan, kemajuan dan tamadun dapat dibangunkan atas dasar Tuhan, ia sudah menjadi kepunyaan bersama dan dapat diagih-agihkan kepada semua. Semuanya mendapat rahmat dan tidak ada monopoli. Tidak cantikkah dan tidak indahkah Islam yang begini?

Itu yang dimaksudkan dan kalau dapat dipersembahkan dengan cara ketiga ini, orang bukan Islam pun tidak sakit hati. Bahkan mereka mendapat manfaat bersama. Mereka boleh bernaung dalam pemerintahan Islam. Tetapi entah apa salahnya, kita pun tidak tahu. Di mana silapnya? Ada golongan Islam yang pasif sangat. Bila disebut agama, mesti mundur keadaannya. Bila disebut orang agama, mesti tidak ada kemajuan. Bila disebut Islam mesti bermaksud pasif. Di mana silapnya? Tidak diketahui siapa yang membawa ajaran ini sedangkan ajaran Rasullullah itu ummatan wasatan iaitu umat pertengahan yang cantik dan indah kehidupannya. Tidak ada siapa yang takut kerana ianya sangat memberi manfaat dan faedah. Dan tidak diketahui kenapa adanya golongan yang menjadi militan. Kalau umat Islam itu militan, yang paling banyak membunuh orang adalah Rasul. Tetapi tidak pernah kita dengar seorang Rasul membunuh orang. Bacalah kisah-kisah sejak Nabi Adam sampai kepada Rasulullah.

Bahkan sesetengah Rasul apabila masuk berperang dan boleh membunuh tetapi mereka tidak membunuh. Kalaulah membunuh orang itu dianggap hebat, yang paling banyak membunuh orang adalah Rasul. Tetapi tidak ada seorang pun yang Rasul bunuh. Kecuali kalau kita dengar kisah Nabi Musa ketika berumur 18 tahun. Ketika itu dia belum menjadi Rasul dan belum menjadi Nabi. Dia melihat dua orang sedang bergaduh iaitu diantara orang Qibti dengan Bani Israel. Dia hendak meleraikan mereka tetapi dia tertolak sedikit salah seorang daripada yang bergaduh. Oleh kerana dia ada mukjizat, orang itu mati. Dia bukan berniat hendak membunuh tetapi dia mati juga. Nabi Musa ketakutan sebab dia hanya bermaksud hendak meleraikan pergaduhan.

Di antara pemuda Qibti dengan Bani Israel, yang mati itu adalah pemuda Qibti. Maka Firaun tuduh Nabi Musa dan mengatakan yang Nabi Musa mahu mempertahankan bangsanya. Kerana yang mati itu bukan bangsanya. Itu yang menjadi masalah. Sedangkan dia bukan berniat hendak membunuh. Bagaimana pun ketika itu dia belum menjadi Rasul. Setelah dia menjadi Rasul, memang dia tidak pernah membunuh walaupun seorang. Yang peliknya umat Islam hari ini bahkan sesetengah ulama, bila dikatakan jihad, mesti bunuh orang. Bila disebut jihad, mesti berkasar dengan orang. Di mana mereka belajar tentang ini semua?

Yang kedua, ayat itu mengatakan lagi bahawa Umat Muhammad mestilah membuktikan kepada manusia. Umat Muhammad mesti membuktikan bahawa Islam yang sebenarnya membangunkan agama dan kemajuan. Mereka membangunkan dunia akhirat. Dunianya juga dijadikan ibadah. Akhirnya semua menjadi agama. Jalan raya sudah menjadi agama. Pembangunan sudah menjadi agama. Kapal terbang, kereta dan apa saja, semuanya sudah menjadi agama kalau didisiplinkan mengikut kaedah Tuhan. Tidakkah itu indah? Itu kemajuan, itu pahala, itu ibadah dan itu kebaikan.

Allah menganjurkan umat Muhammad mesti membuktikan kepada manusia. Tetapi hari ini, yang dibuktikan oleh umat Islam ialah golongan jumud dan golongan militan. Bila sebut saja Islam, tidak ada selera orang hendak mendengarnya. Samada nampak tidak maju atau nampak ganas. Ini satu kesilapan besar. Jadi kalau dunia marah dan orang kafir marah, memang patut. Sebab kita sedang membuktikan Islam yang tidak tepat. Islam membawa kasih sayang. Islam membawa hiburan. Islam adalah hiburan, samada secara langsung atau tidak. Tetapi mengapa terjadi golongan pertama dan kedua? Inilah tugas kita, yang hendak diberitahu kepada anak-anak. Akhirat dan dunia digabungkan hingga seluruhnya menjadi agama. Itu pahala dan itu kemajuan. Dan moga-moga, apa yang Tuhan minta kepada kita itu, kita sanggup buktikan kepada manusia. Sekarang mesti dibuktikan kepada dunia. Inilah ajaran Tuhan yang sebenarnya. Ini maksud yang kedua.

Maksud yang ketiga, kalau kita boleh buat apa yang telah dikatakan tadi, maka Rasul juga turut menyaksikan. Mengapa Tuhan mengatakan yang Rasul menyaksikan? Kalau zaman para Sahabat, Rasul memang hidup. Rasul melihat sama apa yang sahabat buat. Tetapi di sini dikatakan Rasul melihat, tidak ada yang kecuali. Secara umum, di sinilah kelebihan Rasul. Walaupun sudah wafat, Tuhan boleh perlihatkan apa yang dibuatkan. Walaupun Rasul hari ini sudah wafat, dia boleh melihat.

Kalau begitu, ajaran Islam ini sangat cantik. Inilah yang sedang kita pelajari semula supaya kita dapat faham secara tepat hingga dapat dipersembahkan secara tepat. Dan kita perjuangkan secara tepat. Supaya kita buktikan kepada manusia dan insya-Allah manusia akan boleh menerimanya walaupun ada yang tidak sanggup masuk Islam.

Cukuplah yang dapat dikatakan matan-matannya saja untuk kita jadikan bahan fikir dan untuk kita jadikan modal perjuangan. Moga-moga Islam yang telah pernah diperjuangkan oleh Rasullullah itu dan kemudian diwariskan kepada kita ini dapat dizahirkan ke dunia ini.

Sekian. Wabihiwallahualam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer